Saya percaya pendekatan pembelajaran yang mendalam (deep learning) mampu memberi impak yang tinggi pada keberkesanan pembelajaran. pendekatan ini berjaya memartabatkan budaya ilmu pelajar apabila mereka dengan sendirinya mencari maklumat tambahan di luar bilik kuliah, walau tanpa diminta. pelajar saya juga faham bahawa mereka bukan sekadar belajar sepintas lalu (surface learning) untuk lulus peperiksaan semata-mata.
Pendekatan pembelajaran
mendalam (deep learning)
terbukti berjaya memperkembang potensi pelajar secara
menyeluruh dan bersepadu,
sejajar Falsafah Pendidikan
Kebangsaan. Untuk itu semua
aktiviti pengajaran, pembelajaran
dan penilaian disepadukan ke
arah menyerlahkan potensi
pelajar melalui pencapaian hasil
pembelajaran secara kreatif dan
inovatif, melalui aktiviti
pengajaran dan pembelajaran
yang mirip realiti dunia sebenar.
Untuk itu inovasi dan penambahbaikan berterusan dibuat dari segi pendekatan pengajaran pada setiap semester. Nota kuliah disegarkan dengan informasi dan statistik terkini. Kesannya bahan pengajaran relevan. Ia juga meletakkan pelajar pada konteks, selain memberi persekitaran dan pengalaman terkini. Slaid PowerPoint diindahkan dengan gambar, video dan animasi yang terang, jelas dan menarik bagi memenuhi gaya pembelajaran visual.
Pada 2015, saya diamanahkan untuk membangunkan kursus Massive Open Online Course (MOOC). Untuk itu, 57 video pengajaran dengan durasi lebih 4 jam telah dihasilkan. Menariknya, ia dihasilkan sendiri dari proses penulisan skrip hinggalah suntingan.
Hasilnya, MOOC ini mendapat sambutan lebih 1330 pelajar termasuk dari lebih 15 negara seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom. Malah peratusan (completion rate) pelajar yang menyiapkan semua tugasan MOOC adalah 27%. Jauh lebih tinggi daripada purata MOOC peringkat antarabangsa (cuma 4%).
Di samping itu, penting bagi saya mencuba pelbagai teknik baru dalam mewujudkan inovasi dalam pengajaran. Ia menjadikan 50 minit dalam bilik kuliah pengalaman yang menyeronokkan bagi pelajar. Hinggakan pelajar terasa ia cuma 5 minit. Dalam hal ini saya mewujudkan persekitaran pembelajaran yang aktif dan menyeronokkan melalui permainan, kuiz interaktif dan sebagainya.
Selain itu, saya sendiri sentiasa melengkapkan diri dengan pengetahuan lebih mendalam supaya benar-benar pakar dalam subjek yang diajar. Saya membeli buku berkaitan subjek, selain melanggan majalah bulanan dan jurnal akademik seperti Communications of the ACM (Association for Computing Machinery).
Namun kepakaran tidak cukup jika tidak disampaikan dengan berkesan. Oleh itu saya sentiasa bertanya apakah pendekatan yang sesuai dengan kehendak pelajar? Perkara ini sejajar konsep, 'Pelajar diutamakan, ilmu dimartabatkan.'
Saya juga suka berkongsi pengalaman belajar di luar negara bersama pelajar. Kemudian saya mengaitkannya dengan kandungan kursus. Kesannya pelajar terpaku. Penyampaian kandungan kursus melalui penceritaan berjaya menjadikan saya mesra pelajar. Hal ini juga memenuhi gaya pembelajaran kumpulan pelajar yang bersifat auditori.
Selain itu, saya tidak mengamalkan penyampaian secara kuliah sehala 100%. Saya percaya konsep pembelajaran aktif dan berpu-satkan pelajar dapat memberi peluang pelajar mendapatkan pengalaman praktikal melalui aktiviti hands-on.
Ia dilaksanakan melalui penggunaan buku kerja aktiviti atau modul yang saya terbitkan sendiri. Hal ini juga memenuhi gaya pembelajaran kumpulan pelajar yang bersifat kinestetik. Formula engaging learners diamalkan di mana pelajar sentiasa diajak berbincang dengan meminta mereka memberikan contoh dan sebagainya.
Sebagai pensyarah latar belakang ICT, sudah tentu saya sentiasa mengaplikasikan kecanggihan teknologi pengajaran Web 2.0 dalam bilik darjah. Buktinya hampir semua fungsi dalam Morpheus telah digunakan.
Selain itu, saya juga antara pensyarah UNIMAS terawal yang mengaplikasi kekuatan teknologi Web 2.0 dalam pembelajaran. Buktinya, laman sosial Ning.com telah digunakan terlebih dahulu seawal tahun 2008 untuk kursus TMT1013 Web Design and Technology.
Di samping itu, Youtube, Facebook dan Blog pula digunakan semenjak 2009. Teknologi ICT juga digunakan oleh pelajar bagi mencapai konsep empower learners. Mereka juga kini belajar dengan konsep kuliah tanpa sempadan, di mana mereka boleh berinteraksi dengan saya walaupun pukul 12 tengah malam.
"Formula engaging learners diamalkan di mana pelajar sentiasa diajak berbincang dengan meminta mereka memberikan contoh dan sebagainya."
Sebagai contoh, pelajar TMU1043 Multimedia Technology saya yang diajar dengan pendekatan mendalam (deep learning) bukan sekadar menguasai kandungan kursus. Mereka juga disediakan dengan kemahiran yang dapat membantu mereka di alam pekerjaan kelak.
Kesannya mereka mampu berfikir dengan kritis, belajar secara berkerjasama dan mengurus pembelajaran kendiri. Untuk itu saya sentiasa menyediakan platform bagi menggalakkan pelajar menyuarakan pendapat, berkongsi hasil tugasan dan sebagainya.
Selain itu saya membuktikan bahawa melalui aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang bersifat aktif (active learning), persekitaran pembelajaran kelas saya menjadi lebih menyeronokkan. Aktiviti aktif seperti permainan, kuiz interaktif dan sebagainya dibuat setiap minggu.
Mantra “Pencapaian ditekankan, pelajar diutamakan” pula adalah berasaskan teori pembelajaran berpusatkan pelajar (student-centered learning). Untuk itu saya perlu mengetahui gaya pembelajaran dan minat pelajar saya.
Saya juga yakin bahawa pelajar saya cukup matang untuk membuat keputusan sendiri berkaitan tugasan atau projek yang diberikan. Dalam hal ini, fungsi saya berubah daripada sekadar punca utama ilmu diperoleh kepada seorang fasilitator pembelajaran, jurulatih atau juru runding kepada pelajar. Untuk itu semua aktiviti pengajaran direka supaya menyokong proses pembelajaran dan pemahaman dalam kalangan pelajar.